Peluang Cari Pendapatan Terbuka Luas



KUALA LUMPUR: Golongan muda perlu bijak mencari pekerjaan dan bukannya bergantung kepada sektor kerajaan sahaja seperti corak pemikiran generasi dahulu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim berkata, sekarang keadaan sudah banyak berubah kerana peluang kerja agak luas terutama kewujudan banyak syarikat.

Malah menurutnya, perniagaan atas talian juga antara langkah bijak yang dapat menjana pendapatan di kalangan generasi muda.

"Dahulu, corak pemikiran anak muda mesti kerja dengan kerajaan.

"Sekarang bidang kerja terbuka luas kerana perkara paling penting ada pendapatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Forum Pembinaan Kerjaya Bersempena Lan Berambeh Anak Sarawak 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Menurutnya, aspek penting adalah pendapatan diperolehi adalah menerusi sumber halal.

"Bukan kerja dengan sektor mana yang penting, yang penting rezeki halal," ujarnya.

Malah Rohani juga Ahli Parlimen Batang Lupar menjelaskan, kementeriannya juga menyediakan portal khas untuk membolehkan peniaga atas talian mengiklankan produk yang dihasilkan.

"Ini memberi ruang terutama kepada wanita untuk menjana pendapatan termasuk di rumah.

"Kalau berniaga atas talian, kita tidak memerlukan syarikat atau pejabat," jelasnya.

Dua lagi panel forum tersebut ialah Pengarah Unit Sumber Manusia Negeri William Patrick Nyigor dan Ketua Komunikasi Korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Shahrein Yusri.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA