Pelbagai Program Kesedaran Derma Organ Dipergiatkan


KUCHING: Pelbagai program dirancang untuk memberi kesedaran dan menyampaikan maklumat bagi menggalakkan rakyat Malaysia menjadi pengikrar penderma organ, khususnya penderma selepas meninggal dunia.

Timbalan Pengarah Perubatan Jabatan Kesihatan Sarawak, Dr Kamaruddin Lajim berkata tugas tersebut bukan suatu yang mudah tanpa sokongan dan bantuan banyak pihak.

“Walaupun hasil daripada usaha mengajak masyarakat untuk menjadi pengikrar organ kita tidak seperti beberapa negara lain tetapi usaha mereka sudah mula menarik masyarakat umum untuk menjadi pengikrar derma telah diterima baik oleh rakyat Malaysia,” ujarnya

Berdasarkan rekod Pusat Sumber Transplan Nasional, sejak tahun 1997 hingga bulan September 2016 ini, seramai 362,450 orang telah menjadi pengikrar derma organ.

“Ini jauh berbeza sekiranya dilihat pada tahun 1997 iaitu hanya terdapat 2,566 orang sahaja berikrar untuk menderma organ,” katanya.

Jelasnya lagi, setakat bulan September 2016 ini, di Malaysia terdapat seramai 19 330 orang telah mendaftar sebagai penderma.

“Kita di Sarawak pula terdapat 772 orang yang berikrar untuk menderma dan jumlah tersebut masih rendah berbanding populasi negeri kita yang berpenduduk kira-kira 3 juta orang,” tambahnya.

Kamaruddin berkata, mengikut Pusat Transpian Nasional, sejak tahun 1997 hingga kini, pengikrar daripada golongan perempuan paling ramai iaitu 206,020 orang atau 56.84% dan lelaki seramai 152,645 orang atau 42.11%.

“Dari segi pecahan bangsa, kaum Cina paling tinggi iaitu seramai 152,637 orang atau 42.11% diikuti kaum Melayu seramai 105,336 atau 29.06% dan India seramai 84,371 orang atau 23.28%.Manakala kaum-kaum lain masih di bawah 6%,” jelasnya.

Tambahnya, pihaknya mula memasyarakatkan pendermaan organ dengan mengajak para sukarelawan dari pelbagai latar belakang bersama anggota kesihatan.

“Kita juga turun padang bersemuka untuk menyampaikan mesej ajak masyarakat berdaftar dan hasilnya pada tahun 2014 kita berjaya mendaftarkan sebanyak lebih 42,861 orang pengikrar baharu.

“Jumlah tersebut meningkat ke lebih 7000 pengikrar baharu pada tahun 2015,” katanya ketika berucap pada majlis Perasmikan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri Sarawak 2016 di Auditorium Bangunan Sultan Iskandar sebentar tadi.

Kamaruddin menyeru agar masyarakat bersama-sama membantu usaha menyedarkan orang ramai mengenai pentingnya pendermaan organ demi membantu mereka yang memerlukan.

“Kita amat berharap tahun ini lebih ramai lagi anggota masyarakat, khususnya di tempat –tempat promosi kita akan menerima maklumat ini dan berdaftar sebagai pengikrar sebagai pendrma organ,” ujarnya. – Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA