Pelarian Syria Ada 4 Isteri, 23 Anak Dapat Elaun RM1.6 Juta


BERLIN – Seorang pelarian Syria yang ada empat isteri dan 23 anak telah mencetuskan kemarahan di Jerman apabila mengaku menerima elaun kerajaan Eropah itu lebih RM1.6 juta setahun.

Kemarahan rakyat negara itu muncul setelah berita mengenai pelarian bernama Ghazia A itu mendakwa berjaya menerima bantuan elaun lebih dari 360,000 euro (kira-kira RM1.625 juta) dalam setahun disiarkan pihak media.

Lelaki tersebut melarikan diri dari Syria tahun lalu bersama-sama ahli keluarganya dan merupakan sebahagian daripada sejuta migran asing yang ditampung di seluruh Jerman sepanjang 2016, lapor media tempatan kelmarin.

Dia kemudian ditempatkan di Montabaur, kira-kira 578 kilometer dari ibu kota Jerman, Berlin dengan empat isterinya dan 22 anak manakala seorang lagi anak perempuannya telah berpindah ke Arab Saudi setelah berkahwin.

Menurut seorang pengurus kewangan tempatan yang membuat anggaran kiraan berdasarkan data Persatuan Majikan Jerman, Ghazia A dan keluarganya itu berjaya menerima elaun lebih 360,000 euro dalam masa setahun.

Bagaimanapun pihak kerajaan tidak mengeluarkan sebarang pengesahan rasmi mengenai rekod amaun sebenar elaun yang diterima pelarian berkenaan malah Ghazia A sendiri hanya membuat anggaran tersebut secara kasar.

Pelarian Syria Ada 4 Isteri, 23 Anak Dapat Elaun RM1.6 Juta

Menurut tradisi agama Islam yang dianuti lelaki berusia 49 tahun itu, dia sebenarnya boleh memiliki sehingga maksimum empat isteri, selagi mampu membiayai nafkah sara hidup kesemua mereka tanpa ada masalah besar.

Jerman namun tidak mengiktiraf amalam poligami, sekali gus Ghazia A terpaksa memilih hanya salah seorang isteri bagi membolehkan seluruh anggota keluarganya dapat menuntut elaun pelarian diperuntukkan kerajaan negara itu.

Ini bermakna secara teknikal baki tiga lagi isteri Ghazia A hanya dikategorikan sebagai ‘ahli keluarga’ dari migran Syria dari segi terma undang-undang perkahwinan Jerman yang memperakui seorang suami untuk seorang isteri.

Meskipun demikian, seorang pegawai tempatan di bandar raya Montabaur, sebuah negeri di Rhineland-Palatinate, menggambarkan kes Ghazia A itu sebagai ‘pengecualian’ dan tidak tertakluk kepada isu perundangan domestik.

Ghazia A buat masa ini menetap bersama-sama isteri pertamanya yang bernama Twasif dan lima anak mereka di Montabaur, manakala tiga isteri dan 17 anak lainnya dipindahkan ke tempat lain berjarak sekitar 60 kilometer.

Media melaporkan, ketika di Syria, Ghazia A bekerja di sebuah bengkel selain menyediakan perkhidmatan sewa kereta. Di Jerman pula, dia ketika ini belum ada pekerjaan tetap dan bergantung hidup kepada elaun kerajaan.

Akhbar popular Jerman, Bild menceritakan Ghazia A sebagai menjelaskan bahawa: “Dalam agama kami adalah tugas saya sebagai ketua untuk menziarahi setiap ahli keluarga dan tinggal bersama-sama dengan mereka.”

Dalam pada itu, salah seorang jiran Ghazia A, Sergei Jaufmann menyatakan, “Anak-anaknya gemar bermain bola sepak di jalanan. Saya sering melihat ibu mereka muncul ketika lelaki itu pulang dari membeli barangan harian.”

Pengguna media sosial di Jerman bagaimanapun meluahkan kemarahan kerana terkejut apabila mengetahui elaun sara hidup yang diterima Ghazia A sebagai amat lumayan berbanding kehidupan rakyat negara itu sendiri.

Salah seorang netizen enggan dikenali menyindir, “Lelaki Syria dengan 4 isteri dan 23 anak sekarang ini sedang ditanggung oleh kerajaan kita sebagai suatu hal yang wajar.” – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA