Pelajar luar bandar diseru kuasai BI


DEBAK: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di pedalaman mesti bekerja rapat dengan wakil rakyat mereka untuk menyediakan Kelas Khas Bahasa Inggeris bagi membantu pelajar luar bandar menguasai bahasa tersebut, seterusnya membantu mereka lulus peperiksaan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang berkata demikian turut menyuarakan kebimbangannya mengenai kadar kelulusan rendah di kalangan penduduk luar bandar disebabkan kegagalan pelajar lulus Bahasa Inggeris.

“Ketua Menteri telah mengingatkan kita tentang kepentingan untuk bercakap dengan fasih dalam bahasa Inggeris.

“Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa, kita mesti berusaha gigih untuk mengatasi semua kelemahan. Jika orang lain boleh, kenapa kita tidak boleh?” katanya pada Majlis Makan Malam PIBG SK Ng Gayau Debak kelmarin.

Menurut Uggah, selain bahasa Inggeris, PIBG juga harus menekankan kemahiran kemanusiaan, terutamanya komunikasi yang berkesan.

“Sampaikan kemahiran berkomunikasi apabila anda mengendalikan Kelas Khas Bahasa Inggeris. Anak-anak kita mesti dilatih untuk berasa yakin bila bercakap dan setara dengan orang lain apabila menghadiri temu duga untuk pekerjaan,” katanya sambil menambah ramai gagal untuk mendapatkan pekerjaan kerana kemahiran sesama manusia (interpersonal) yang lemah.

Uggah yang mengumumkan geran sebanyak RM10,000 kepada SK Ng Gayau bagi memulakan Kelas Khas Bahasa Inggeris bermula tahun hadapan, turut mengucapkan tahniah kepada guru, ibu bapa dan ketua masyarakat di kawasan sekitar.

Menurut Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar itu, ia atas usaha gigih mereka memelihara standard pencapaian yang sangat tinggi dalam peperiksaan awam.

Beliau turut berasa sedih dengan hakikat bahawa ramai pelajar gagal peperiksaan disebabkan Bahasa Inggeris dan berharap mulai tahun hadapan, sekolah berkenaan dapat menangani masalah itu lebih awal selain tidak menunggu sehingga peperiksaan semakin dekat.

“Kendalikan kelas ketika mereka berada dalam tahun empat dan tahun lima, bersiap sedia lebih awal pada tahun depan,” katanya.

Pada majlis itu, Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban mengesahkan bahawa RM2 juta diluluskan oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika melawat sekolah itu kira-kira enam bulan lepas.

“Guru Besar sudah menerima surat daripada Kementerian Pendidikan, yang meminta beliau menyenaraikan keutamaan dan tidak terlalu bimbang mengenai sistem IBS.

“Apa yang penting ialah sekolah ini wajar menikmati kemudahan lebih baik untuk anak-anak kita belajar dalam persekitaran yang ideal,” tegasnya.

Uggah turut meluluskan RM10,000 untuk sekolah itu membeli buku-buku perpustakaan supaya pelajar mempunyai bahan bacaan yang berkualiti tinggi, dan mengamanahkan Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr Richard Rapu untuk membelinya di Kuching dan Kuala Lumpur.

Beliau turut menyerahkan cek bernilai RM30,000 kepada Pengerusi PIBG sekolah Usang Janting, dan menjanjikan RM15,000 lagi untuk membeli kemudahan asas yang diperlukan oleh pelajar dan guru sekolah bagi kegunaan pada tahun depan.

“Berdasarkan senarai ia termasuk kostum tarian, jubah graduasi dan komputer dengan jumlahnya ialah RM12,000 tetapi saya memberi RM15,000 untuk anda membeli satu lagi komputer,” katanya dan menambah insentif bernilai RM1,000 bagi setiap pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam akan diteruskan.

Pada majlis sama, Uggah dan isterinya, Datin Amar Doreen Mayang diraikan oleh PIBG untuk mengucapkan tahniah kepada beliau di atas pelantikannya sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA