Pelajar Dirantai, Kursus Keibubapaan Mungkin Diwajibkan - Rohani


KUALA LUMPUR: Kursus bimbingan keibubapaan mungkin akan diwajibkan bagi meningkatkan kemahiran dalam menunaikan tanggungjawab dalam keluarga berikutan semakin banyak kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kursus kelolaan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara itu tidak diwajibkan ketika ini, namun kementerian akan mempertimbangkan untuk mewajibkan kursus itu terutama kepada ibu bapa yang terlibat dengan kes penganiayaan terhadap anak-anak mereka.

"Kursus keibubapaan tidak diwajibkan pada masa ini kerana ia memberi gambaran seolah-olah ibu bapa tidak pandai menjalankan tanggungjawab. Namun kita mungkin perlu mewajibkannya tidak lama lagi kerana banyak berlaku kes sedemikian (dera)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Khamis.

Beliau mengulas gambar viral di media sosial mengenai seorang murid perempuan berpakaian seragam sekolah yang kakinya dirantai di tiang di Taman Permainan Lagoon Perdana, Bandar Sunway kerana didakwa enggan ke sekolah.

Sambil menyifatkan kes itu tidak sepatutnya berlaku, Rohani berkata hanya ibu bapa yang tidak rasional akan bertindak sedemikian.

Rohani berkata kes tersebut masih dalam siasatan polis dan sehubungan itu beliau tidak mahu membuat sebarang kesimpulan mengenai kes berkenaan.

Menurutnya kanak-kanak itu telah dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan, dan pihaknya memberikan khidmat kaunseling kepada mangsa.

Kementerian juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan melalui Majlis Sosial Negara bagi mengetahui punca dan langkah yang perlu diambil berhubung kes itu, kata Rohani. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA