Pelabuhan LKIM Tanjung Bako Terbesar Di Malaysia


KUCHING: Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Bako bakal menjadi mercu tanda baharu dalam sektor perikanan negara kerana memiliki kemudahan moden yang memenuhi piawaian Kesatuan Eropah (EU), kata Pengerusi LKIM Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.

Beliau berkata, ia sekaligus dapat menjadikan pelabuhan tersebut dan kawasan sekitarnya sebagai 'bandar nelayan' selain memudahkan urusan pengeksportan ikan ke negara luar terutama Eropah.

"Ini merupakan palabuhan LKIM terbesar di Malaysia dan harus dioptimumkan penggunaannya kerana boleh menyumbang kepada ekopelancongan dan agropelancongan," katanya pada sidang media selepas Lawatan Raasmi Ke Pelabuhan LKIM Tanjong Bako hari ini.

Menurutnya, pelabuhan yang dibina dengan kos RM247 juta itu akan memberi manfaat kepada 1,773 nelayan tempatan dan 243 vessel.

Dengan adanya pelabuhan tersebut, Irmohizam menjelaskan, pendaratan ikan akan dapat ditingkatkan berbanding 1.8 juta metrik tan setahun ketika ini.

"Ini kerana di Malaysia sahaja seorang individu memerlukan 40kg ikan setahun dan bilangan yang didaratkan masih tidak mencukupi.

"Saya yakin dengan adanya pelabuhan ini, bilangan pendaparatan ikan dapat dipertingkatkan," ujarnya.

Selain itu menurutnya, sistem pengesanan bot turut dipasang kepada bot nelayan sebagai langkah untuk mengelak pencerobohan dan mengetahui arah tuju setiap bot.

"Buat masa ini sekitar 30 peratus bot nelayan sudah dipasang dengan sistem ini," jelasnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA