PATI bukan haiwan buruan, peguam bidas cadangan Imigresen

PETALING JAYA: Cadangan Jabatan Imigresen Malaysia memberikan ganjaran kepada orang awam yang membantu menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) dibidas sebuah kumpulan peguam hak asasi hari ini sebagai tidak bertanggungjawab dan berbahaya.

Lawyers for Liberty (LFL) berkata, golongan PATI tidak seharusnya dilayan seperti haiwan buruan kerana mereka bukan melakukan jenayah.

“Pekerja tanpa permit adalah manusia yang membuat kerja sah, bukannya melakukan jenayah,” kata Pengarah Eksekutif LFL, Eric Paulsen kepada FMT.

“Ramai di antara mereka membuat kerja yang tidak ingin dilakukan oleh warga Malaysia kerana susah, kotor dan bahaya. Kita harus berterima kasih dengan tenaga buruh asing.”

Ia susulan cadangan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali memberi ganjaran kewangan bagi menggalakkan orang ramai memerangi majikan serta sindiket yang mendalangi penyeludupan warga asing.

Kata Mustafar, tindakan itu merupakan langkah mudah dan menjimatkan, seperti mana pasukan sukarelawan seperti “bounty hunter” (pemburu upahan) dipraktikkan di Amerika Syarikat, Mexico dan negara lain.

Bagaimanapun, Eric berkata cadangan Mustafar itu tidak berperikemanusiaan, menggalakkan keganasan dan hanya akan menindas pekerja asing.

“Pihak imigresen harus ambil maklum, ada ramai kes pekerja asing ditipu, tidak mendapat kerja yang dijanjikan atau permit sah. Bukan salah mereka walaupun berbelanja beribu-ribu ringgit,” katanya.

Eric juga memberi amaran apa-apa kemungkinan boleh berlaku sekiranya orang awam yang tidak terlatih diberikan kuasa menangkap.

“Kita sedia maklum, ada banyak kes salah laku RELA masa dahulu ketika mereka dikerahkan untuk membuat operasi PATI,” katanya merujuk kumpulan sukarelawan itu.

Taktik menggunakan pemburu upahan ini diperkenalkan di Amerika Syarikat pada 1872 apabila ia diiktiraf sebagai sebahagian daripada sistem penguatkuasaan undang-undang.

Kini, pemburu upahan di AS lebih dikenali sebagai agen kepada penjamin dan mereka bertindak melakukan tangkapan dengan upah di antara AS$26,000 sehingga AS$75,000.

Apabila menjalankan tugasan, agen pemburu upahan akan menyarungkan baju kalis peluru, lencana dan pakaian yang menunjukkan mereka adalah agen kepada penjamin.- FMT

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA