Pasar Malam Belia N6 Metrocity Platform Belia Jana Pendapatan


KUCHING: Pasar Malam Belia N6 Metrocity menjadi platform terbaik kepada golongan belia untuk menjana pendapatan selain mengetengah kreativiti mereka, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazruddin Abdul Rahman.

Beliau berkata, idea untuk mewujudkan pasar tersebut tercetus selepas mengambil kira keadaan ekonomi yang serba mencabar ketika ini dan golongan belia perlu disediakan platform untuk terlibat dengan bidang keusahawanan.

Malah menurutnya, kebanyakan belia pada hari ini begitu kreatif dan rajin berusaha termasuk mengusahakan produk masing-masing.


"Maka dengan pembukaan pasar malam ini, ruang dapat disediakan kepada mereka untuk berusaha menjana pendapatan.

"Saya juga berhasrat agar pasar malam ini terus berkembang dan menjadi daya tarikan pelancong tempatan dan luar negara," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, pada peringkat permulaan sekarang adalah amat penting untuk peniaga yang terlibat untuk mengutamakan aspek kebersihan dan produk yang dijual perlu menarik.

"Jika objektif ini tercapai maka ianya akan memberi kesan positif kepada peniaga sendiri.

"Kerjasama erat antara pemimpin akar umbi, agensi kerajaan, persatuan penjaja dan peniaga juga harus dieratkan selain saling bantu membantu untuk mencapai objektif ini," ujarnya.

Fazruddin turut berterima kasih kepada Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petrajaya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Muda Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais yang membantu dan menyokong usaha mewujudkan pasar tersebut.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA