PAS utamakan parti Gagasan Sejahtera, bukan Pakatan


Gabungan PAS bersama parti dalam Gagasan Sejahtera menjadi keutamaan sebelum sebarang rundingan dengan parti pembangkang lain, khususnya Pakatan Harapan.

Kata Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, PAS akan mengutamakan Parti Ikatan berbanding parti pembangkang lain memandangkan mereka menjadi sekutu parti Islam itu dalam gabungan tersebut dan sebarang rundingan perlu terlebih dahulu melalui proses rundingan dengan rakan mereka itu.

“Oleh itu, sebarang ura-ura kerjasama PAS bersama mana-mana parti baru adalah tidak rasmi sehingga adanya kenyataan rasmi bersama Gagasan Sejahtera,” katanya dipetik dalam Sinar Harian.

Terdahulu, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan memaklumkan parti Islam itu menolak mana-mana parti politik yang mendukung dan bekerjasama dengan DAP.

Menurut Tuan Ibrahim, PAS hanya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti baharu yang sudi memperjuangkan matlamat selari dengan Gagasan Sejahtera.

“Setakat ini, PAS akan pertahankan kerusi tradisi parti yang kebanyakannya bertembung dengan UMNO, dengan segala kemampuan yang ada,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim memaklumkan, kewujudan pelbagai parti baharu menjelang pilihan raya adalah satu fenomena di mana sistem demokrasi dalam negara semakin rancak.

Namun begitu, beliau tetap mengingatkan setiap parti seharusnya fokus dalam menyediakan jentera terlebih dahulu sebagai strategi pilihan raya yang paling utama sebelum memikirkan soal kerusi.

“PAS akan terus menggerakkan jentera parti dengan kemampuan yang sedia ada selain kesungguhan kerja para ahli serta petugas,” katanya.-bnbbc

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA