Parkir kereta bertingkat di Medan Niaga Satok


KUCHING: Tempat letak kereta bertingkat bernilai RM6 juta akan dibina di Medan Niaga Satok bagi menjadikan ia sebagai salah tempat tumpuan di sini, sekali gus menarik kehadiran lebih ramai pengunjung terutama pelancong asing.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata projek tersebut sudah diluluskan dan dijadual dilaksanakan pada tahun depan, dengan tempoh pembinaan selama 18 bulan untuk disiapkan.

“Tempat letak kereta ini akan dibina tiga tingkat dan menyediakan 227 ruang letak kereta,” katanya semasa mengadakan lawatan ke Medan Niaga Satok, semalam.

Selain itu, Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata beliau akan berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk membina dermaga dari Kubah Ria ke kawasan letak kereta tersebut bagi meningkatkan infrastruktur di tebingan sungai di situ.

Katanya pembinaan dermaga tersebut dianggarkan menelan kos antara RM3 juta hingga RM4 juta.

Pada masa sama, beliau berkata turut merancang mengembalikan jambatan pejalan kaki Satok yang kini rosak sejak beberapa tahun lalu, kerana ia adalah sebahagian daripada mercu tanda yang bersejarah dan warisan di kawasan Satok.

“Ini juga mungkin menelan kos yang agak tinggi dan diletakkan di bawah dana negeri,” katanya.

Beliau menambah, Medan Niaga Satok juga akan dilengkapi dengan kemudahan untuk golongan ‘busker’.

“Saya telah mencadangkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) supaya menyediakan pentas terbuka untuk para busker membuat persembahan,” katanya.

Turut hadir Pengarah FAMA Sarawak Paza Dan. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA