Pandikar Tahu Lebih Awal Plot Pembangkang Keluar Dewan




KUALA LUMPUR: : Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau mengetahui lebih awal plot pembangkang untuk keluar Dewan Rakyat pada pembentangan Bajet 2017, Jumaat lepas.

Katanya beliau mendengar ura-ura tindakan itu sehari sebelum pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Yang Berhormat fikir telinga saya ini tidak dengar apa-apa? Ada mesej yang sampai kepada saya daripada teman-teman bahawa esok ada tindakan keluar dewan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan kepada Anggota Parlimen berhubung larangan perbincangan mengenai tindakan sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) kerana bersifat subjudis selepas sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tindakan keluar dewan berlaku selepas Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) membangkitkan sama ada isu DoJ boleh dibincangkan pada sesi perbahasan.

Pandikar berkata beliau sudah membuat keputusan mengenai perkara itu mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bahawa ia tidak boleh dibincangkan kerana subjudis.

"Jangan main dengan saya kerana apabila saya ambil tindakan saya serius dengan tindakan saya...apabila saya duduk di sini, yakinlah Yang Berhormat, saya akan lakukan yang terbaik untuk semua orang, tetapi jangan sampai saya diheret dalam strategi politik," katanya.

Pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Jumaat lalu dicemari tindakan Anggota Parlimen pembangkang yang mempamerkan plakad dan bertindak keluar dari Dewan Rakyat. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA