Pameran Tentera Darat Meriahkan Karnival Kebudayaan Bengoh Hujung Minggu Ini



Kuching : Pameran Tentera Darat Malaysia (TDM) antara aktiviti yang akan memeriahkan Karnival Kebudayaan Bengoh (KKB) yang akan berlangsung dari 28 hingga 30 Okt ini.

Karnival yang akan diadakan di Skim Penempatan Semula Bengoh, Jalan Kampung Semadang-Bau, Off Jalan Puncak Borneo, kira-kira 44 kilometer dari Kuching itu dijangka menarik kedatangan puluhan ribu pengunjung.

Menurut Panglima Satu Divisyen Infantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Stephen Mandaw, pameran yang akan berlangsung pada 29 dan 30 Okt itu akan mempamerkan senjata dan aset TDM termasuk kereta kebal, pameran peralatan semboyan, pameran survival, promosi Askar Wataniah (AW) dan pemeriksaan kesihatan serta rawatan pergigian.

Sementara itu, pengerusi karnival berkenaan, Rangen Jamang berkata selain pameran ATM, pelbagai aktiviti menarik akan turut diadakan bermula dengan pertandingan bermain gong dan tarian kebudayaan pada 28 Okt dan pertandingan akhir Ratu Kebudayaan Bengoh keesokan harinya pada sebelah malam.

Katanya, pusingan awal pertandingan 'battle of the band' pula akan diadakan pada 29 Okt dan pertandingan akhir akan berlangsung pada 30 Okt, bermula 11 pagi.

Di samping itu, katanya sukan tradisional termasuk pertandingan menyumpit akan diadakan pada 29 Okt, selain pameran dan jualan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Beliau berkata Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak Datuk Dr Jerip Susil akan merasmikan karnival itu Sabtu ini.

-- BERNAMA


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA