Pahang Menang Percuma, Sarawak Perlu Tumbangkan PDRM


KUCHING: Keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberikan tiga mata kepada Pahang ekoran Kedah menurunkan pemain yang digantung perlawanan dalam saingan Liga Super 2016 sudah pasti meningkatkan 'angin' kemarahan penyokong bola sepak Sarawak.

Ini kerana Sarawak bersama Pahang masing-masing berebut slot untuk kekal dalam saingan Liga Super tahun depan.

Sarawak yang sebelum ini menduduki tangga kelapan kini turun satu anak tangga selepas dipintas Pahang yang diberikan kemenangan percuma 3-0 dalam perlawanan menentang Kedah.

Dalam perlawanan terakhir menentang PDRM Sabtu ini di Stadium Negeri, anak buah David Usop mahu tidak mahu perlu melakar kemenangan sekiranya berhasrat untuk terus kekal dalam Liga Super 2017.

Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) sebelum ini juga menuntut kehadiran penyokong ke Stadium Negeri untuk menjadi tonik tambahan dalam perlawanan hidup mati itu.

Sementara itu, Kedah menerima hukuman ditolak tiga mata dalam saingan Liga Super selepas menurunkan Mohd Rizal Mohd Ghazali yang digantung secara automatik (akibat daripada pengumpulan tiga kad kuning pada perlawanan Liga Super 2016 yang berbeza) ketika perlawanan menentang Pagang pada 3 Ogos lalu di Stadium Darul Aman.

Kesalahan itu berdasarkan peraturan 'Artikel 71(c) Kod Tatatertib FAM 2015' berkenaan 'Obligasi Pasukan' dan dibaca bersama dengan 'Artikel 57.1 Kod Tatatertib FAM 2015'.

Justeru Kedah dilucutkan hak bagi perlawanan Liga Super 2016 menentang Pahang yang berlangsung di Stadium Darul Aman dan pasukan tuan rumah itu dikira kalah dengan jaringan Kedah 0-3.

KFA turut didenda sebanyak RM5,000 dan diberi amaran keras.

Walaupun ditolak tiga mata, Kedah kekal di tangga ketiga liga dengan mengumpul 34 mata manakala Pahang paling beruntung kerana tiga mata percuma itu melonjakkan mereka ke tangga kelapan liga dengan 23 mata sekali gus mengelakkan diri daripada tersingkir ke Liga Perdana tahun depan.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA