Orang Utan Dihadiahkan Sultan Johor Dinobat Paling Tua Di Dunia




PERTH: Seekor orang utan yang dihadiahkan Sultan Johor kepada Australia dinobatkan sebagai yang paling tua di dunia oleh Guinness World Record.

Puan, nama yang diberi kepada orang utan betina berusia 60 tahun itu kini boleh ditemui di Zoo Perth.

Dilahirkan pada 1956, Puan dihadiahkan oleh Sultan Johor, 48 tahun lalu sebagai pertukaran untuk beberapa haiwan spesis tempatan Australia.

Menurut Penjaga Zoo Perth, Martina Hart, usaha mengenal pasti usia Puan amat rumit dan melibatkan banyak proses termasuk memeriksa rekod lama dan menyingkap memori sukarelawan lalu.

"Kami mengambil masa kira-kira 18 bulan untuk mengkaji secara mendalam, memeriksa rekod-rekod lama selain menemubual beberapa sukarelawan.

"Biarpun begitu, kami berjaya menganggarkan usia Puan iaitu kira-kira 60 tahun, menjadikannya orang utan spesis Sumatera paling tua di dunia," katanya.

Menurutnya, orang utan secara lazimnya tidak hidup melebihi usia 50 tahun.

Namun, katanya Puan masih sihat biarpun mempunyai emosi yang tidak stabil ekoran usianya.
"Kalau makanannya lewat tiba, dia akan menghentakkan kakinya atas lantai tetapi kebiasaannya dia agak mudah didampingi," kata Hart.- Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA