OKU Miliki Suara Persis Ratu Rock Ella


MESKIPUN mengalami kecacatan penglihatan, namun wanita orang kelainan upaya (OKU) ini memiliki kelebihan unik apabila dianugerahkan suara persis ratu rock negara, Ella.

Menerusi sebuah video dikongsikan oleh laman Friends of BN yang dimuat naik oleh Shokey Chucky beberapa hari lalu, ternyata kehebatan wanita ini malah menjadi viral di Facebook.

Kelibat wanita OKU yang dikenali sebagai Nurul oleh pengunjung pusat membeli belah SOGO, di Jalan Tunku Abdul Rahman, sering dilihat menghiburkan orang ramai yang lalu-lalang di kawasan tumpuan warga kota Kuala Lumpur itu.

Rakaman video yang menggunakan telefon bimbit berdurasi hampir 5 minit itu memaparkan Nurul ditemani anak kecilnya sedang mendendangkan sebuah lagu yang pernah dipopularkan oleh ratu rock tanah air.

Berdasarkan video yang tersebar, Nurul dengan penuh penghayatan mempersembahkan lagu Sembilu yang popular sekitar awal 1990-an.

Malah kendengaran beberapa suara pengunjung turut bersama-sama menyanyikan bahagian korus lagu tersebut.

Meskipun dalam posisi duduk, lontaran suara Nurul lancar dan tidak ubah seperti penyanyi asalnya yang terkenal dengan suara serak-serak basah.

Video berkenaan telah ditonton lebih 183 ribu pelayar media sejak ia dimuat naik. – MYNEWSHUB.CC


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA