NSOF Bukti Kerajaan Ambil Serius Tangani Ancaman Keganasan - Najib

Image result for najib
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Pasukan Operasi Khas Nasional (NSOF) yang dilancarkan hari ini sebagai pasukan pertama yang akan bertindak sekiranya berhadapan ancaman keganasan, membuktikan kerajaan tidak alpa dan memandang serius ancaman itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata pasukan yang dianggotai 17 pegawai dan 170 anggota daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu sedia digerakkan pada bila-bila masa.

"Sebelum ini bila sesuatu keadaan berlaku, kita tidak tahu sama ada untuk menghantar polis atau tentera untuk menanganinya, jadi dengan adanya NSOF, ia akan menjadi pasukan pertama yang akan bertindak awal.

"Bila berdepan dengan sesuatu ancaman, panglima Angkatan Tentera dan ketua Polis Negara akan menilai jenis ancaman yang dihadapi sebelum menghantar laporan kepada perdana menteri dan sesuatu tindakan diambil, selaras dengan Akta Majlis Keselamatan Negara," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pasukan NSOF di Kem Sungai Besi, di sini.

Turut hadir, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Najib berkata pasukan itu yang kini dianggotai 17 pegawai dan 170 anggota yang dipinjamkan daripada tiga agensi keselamatan negara itu, akan ditempatkan di Kem Sungai Besi untuk latihan bersama dan mencari keserasian.

"Saya difahamkan ini adalah pasukan bertindak daripada pelbagai agensi, ATM, PDRM dan APMM. Ia yang pertama seumpamanya di dunia ditubuhkan oleh sebuah kerajaan," katanya.

Perdana menteri berkata pasukan itu mula berlatih bersama sejak enam bulan lepas tetapi masih belum terlibat dengan operasi.

Terdahulu, dalam ucapannya, Najib berkata kerajaan memandang serius insiden keganasan global terutama yang melibatkan militan Daesh seperti di Syria, Iraq dan Afghanistan.

"Setakat ini, seramai 250 rakyat Malaysia yang terlibat militan Daesh telah ditahan di dalam negara, seramai 32 telah meninggal dunia di Iraq dan Syria manakala lebih 60 orang masih berjuang untuk ideologi songsang ini," katanya.

Najib berkata perkembangan media sosial banyak mempengaruhi masyarakat mengenai ideologi militan Daesh, sehingga ada yang terpengaruh, contohnya kes serangan kelab malam Movida di Puchong, Jun lalu.

"Mujur tiada yang maut, hanya lapan yang cedera. Adakah kita yakin perkara ini tidak akan berlaku lagi. Dengan penubuhan NSOF ia akan mempertingkatkan kesiapsiagaan, dan kebolehan kita untuk membanteras sebarang insiden pada bila-bila masa," katanya.

Permohonan perjawatan baharu akan dibuat sebaik sahaja pasukan ini mula beroperasi dan buat permulaan, semua perjawatan dalam NSOF adalah dipinjamkan daripada pasukan ATM, PDRM dan APMM.

Pada majlis itu perdana menteri turut meluluskan peruntukan RM200,000 untuk menambah baik infrastruktur bagi kegunaan pasukan NSOF di kem berkenaan.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA