Nenek Gadai Nyawa Demi Selamatkan Cucu


LAHAD DATU: Nenek melecur di muka dan tangan selepas menyelamatkan cucunya apabila rumah mereka terbakar di Kampung Buang Sayang di sini, 8.50 pagi tadi.

Waasi Laali, 50-an, bersama cucu lelakinya, Gairel Latiga, lapan bulan, yang turut melecur di tangan kini menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Apandi Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.53 pagi sebelum mengerahkan dua jentera bersama lapan anggota ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, operasi memadam api dijalankan bagi mengelak api merebak.

"Kami mengambil masa kira-kira 13 minit memadamkan api dan dua mangsa dilaporkan melecur di tangan dan muka," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, wanita yang melecur itu dipercayai menyelamatkan cucunya sebaik menyedari rumah mereka terbakar.

"Dalam kejadian itu juga sebuah kereta turut terbakar.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Difahamkan, ketika kejadian ibu bapa bayi itu tiada di rumah kerana keluar bekerja.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA