Nahas di Kota Belud: Budak perempuan 6 tahun mangsa ketujuh


KOTA BELUD: Seorang budak perempuan berusia enam tahun disahkan mangsa ketujuh yang maut dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Jalan Kota Belud-Kudat, dekat Kampung Pandasan, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Vera Alira Jalius, 6, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kota Belud pada jam 11.15 pagi.

Difahamkan, mangsa sebelum itu dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Sabah di Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut, namun ambulans terpaksa berpatah balik ke Hospital Kota Belud berikutan keadaannya yang semakin kritikal.

Bapa saudaranya, Salim Nasib, 40, berkata ambulans membawa kanak-kanak itu terpaksa berpatah balik selepas bertolak kira-kira 10 minit, namun mangsa diisahkan meninggal dunia ketika dalam rawatan tidak lama kemudian.

Setakat jam 2 petang tadi, tiga mangsa lain yang maut sudah dikenal pasti iaitu Nursukah Abd Jumat, 3; abangnya, Aidil, 8 dan ibu saudara mereka, Hamirah Mohamad Salleh, 39.

Difahamkan, tiga mangsa berkenaan menaiki sebuah PROTON Saga bersama Vera Alira dalam perjalanan ke Kota Kinabalu dengan semua mereka mempunyai talian keluarga.

Kemalangan pada kira-kira jam 5.50 pagi itu membabitkan sebuah PROTON Saga, PROTON Gen2, PERODUA Kancil dan sebuah pacuan empat roda.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA