Mutu Perkhidmatan di Luar Negara Harus Dijaga - TPM


RIYADH - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara agar menjaga mutu dan standard perkhidmatan bagi memastikan sumbangan mereka sentiasa dihargai.

Sebagai contoh, Timbalan Perdana Menteri berkata, di Arab Saudi, kepakaran rakyat Malaysia sebagai tenaga profesional dalam pelbagai bidang sememangnya diakui oleh negara berkenaan.

Beliau berkata, tenaga profesional dan kejururawatan Malaysia yang berkhidmat di Arab Saudi merupakan yang terbaik dalam kalangan negara ASEAN dan memperoleh pendapatan yang tinggi.

"Kita mempunyai standard perkhidmatan menyamai negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain," katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama komuniti Malaysia di Riyadh semalam.

Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan rasmi lima hari ke Arab Saudi, bermula Rabu lepas.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia itu serta kira-kira 250 rakyat Malaysia yang tinggal di Riyadh, termasuk golongan profesional, jururawat dan pelajar.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan sentiasa mengutamakan standard serta kualiti dan hanya menghantar tenaga kerja dalam bidang yang penting.

"Keistimewaan orang Malaysia apabila kita mendapat gaji seperti itu (pendapatan yang tinggi), ertinya pengiktirafan mereka bukan sahaja kepada ketrampilan, kemahiran dan kemampuan profesionalisme yang ada pada kita.

"Tetapi piawaian atau standard yang tinggi terus dipertahankan oleh tenaga-tenaga profesional dan kejururawatan yang tidak pernah dikompromi kerana kita menjaga mutu piawaian. Itu hebatnya orang Malaysia," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kecemerlangan tenaga kerja profesional Malaysia yang mendapat pujian kerajaan Arab Saudi, juga hasil daripada sistem pendidikan negara yang sediakan kerajaan selama ini. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA