Mungkinkah Trio PKR akan sertai BN?

Politik Sarawak mulai menarik perhatian rakyat dengan desas-desus serta spekulasi mengenai kemungkinan tiga pemimpin PKR Sarawak akan keluar parti dan menyertai parti tempatan Sarawak.

Spekulasi tersebut kedengaran bukan sahaja disebabkan pergolakan yang berlaku dalam PKR Sabah, malah disebabkan pemimpin politik tempatan negeri ini turut membuat tawaran agar tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak dari PKR menyertai mereka.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Masing dalam satu kenyataan pada Isnin membuat tawaran agar tiga ADUN PKR itu menyertai parti pimpinannya.

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak dipetik The Malay Mail berkata, PKR tidak mempunyai ideologi atau apa-apa faedah langsung kepada rakyat kedua-dua negeri Malaysia Timur.

“Ia semata-mata bagi membalas dendam terhadap pemecatan Anwar, untuk menentang Mahathir dan Umno!, lagipun tiada UMNO di negeri ini

“Maka tiada sebab ADUN Ba’kalalan Baru Bian, ADUN Batu Lintang See Chee How dan ADUN Krian Ali Biju kekal dalam PKR. Adalah lebih baik mereka menyertai Barisan Nasional (BN) melalui PRS,” katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS Baru) Cobbold John Lusoi turut membuat tawaran serupa kepada trio tersebut.

"Kami dengan senang hati akan menerima mereka jika mereka membuat keputusan untuk menyertai kami," lapor Malay Mail Online.

Bagaimana pun beliau menjelaskan tawaran itu tidak ditujukan kepada See Chee How, kerana ADUN berkenaan bukan seorang Dayak.

Pihak media sehingga kini masih gagal mendapat reaksi tiga pemimpin terbabit berikutan pelawaan tersebut.

Kedudukan PKR ditanah Borneo dilihat mula goyah apabila pengerusi PKR Sabah yang juga ADUN Klias, Datuk Seri Lajim Ukin meletak jawatan dari parti itu bagi membentuk parti tempatan Sabah pada Ahad.

Lajim menyifatkan parti tempatan adalah platform terbaik bagi pengundi dan rakyat negeri itu. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA