Muhyiddin hidup di awang-awangan

Tulisan asal oleh :
Raja Petra Kamarudin, Malaysia Today, 9 Oktober 2016.

Muhyiddin Yassin berkata pembangkang mempunyai peluang yang baik untuk mengambil alih Johor pada pilihan raya umum akan datang. Pada pilihan raya umum sebelum ini Pakatan Rakyat memenangi 18 kerusi, jadinya apa yang mereka perlukan hanyalah sepuluh kerusi lagi, kata Muhyiddin. Dengan ‘crossover’ baru-baru ini, ianya akan memberi pembangkang 29 kerusi berbanding Barisan Nasional dengan hanya 27 kerusi.

Cara Muhyiddin melakukan aritmetik beliau sama seperti bagaimana Mukhriz Mahathir lakukan apabila beliau berkata beliau mempunyai sokongan yang cukup dalam Dewan Undangan Negeri Kedah untuk kekal sebagai Menteri Besar. Akhirnya beliau mendapati bahawa beliau sebenarnya tidak mempunyai majoriti dan dipaksa meletakkan jawatan.

Anda perlu sentiasa ingat satu perkara dalam politik. Sasaran tidak pernah statik. Anda sentiasa membidik sasaran yang bergerak dan anda perlu memikirkan bukan di mana sasaran itu kini berada tetapi di mana ia akan berada apabila anda akhirnya mencapainya.

Muhyiddin berkata 'mereka' kini mempunyai 18 kerusi dan dengan satu ‘crossover’ baru-baru ini mereka hanya memerlukan 10 lagi kerusi untuk mendapatkan majoriti dua kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Johor. Tetapi 18 kerusi itu termasuk empat dari PAS. Jadi siapakah 'mereka' ini? Adakah Muhyiddin berkata bahawa empat kerusi PAS itu milik Pakatan Harapan?

Empat kerusi PAS itu milik Pakatan Rakyat dan bukannya Pakatan Harapan. Sebaik sahaja Pakatan Rakyat dibubarkan, empat kerusi itu tidak secara automatik dipindahkan ke Pakatan Harapan. Tidak mungkin PAS akan serahkan empat kerusi itu kepada Pakatan Harapan atau Muhyiddin.

Malah, satu lagi perkara yang Muhyiddin terlupa adalah bahawa PAS bertanding 30 kerusi pada tahun 2013. PKR bertanding 11 kerusi tetapi hanya menang satu. Dalam salah satu kerusi itu, PAS dan PKR kedua-duanya bertanding untuk menjadikannya pertandingan tiga penjuru.

Apakah yang Muhyiddin fikirkan akan berlaku dalam pilihan raya umum akan datang? Adakah PAS akan membenarkan PPBM dan/atau PAN untuk mengambil 30 kerusi yang ditandingi pada 2013 itu? Atau adakah PAS kini akan bertanding bukan hanya 30 kerusi 'tradisional' mereka tetapi juga 11 kerusi PKR? Bukankah itu bermakna tidak akan ada apa-apa kerusi hadiah untuk PPBM Muhyiddin tetapi sebaliknya mereka akan terlibat dalam pertandingan tiga atau empat penjuru?

Dan tidakkah pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini mengajar Muhyiddin apa-apa? Jika PPBM mahukan mana-mana kerusi, ia perlu berjuang bermati-matian untuknya. Pilihan raya umum yang akan datang akan menjadi yang paling berdarah dalam sejarah Malaysia.

Muhyiddin melihat sesuatu perkara secara berasingan. Politik tidak ditentukan dengan hanya faktor dalaman tetapi faktor-faktor luaran juga. Orang-orang seperti Muhyiddin begitu rabun sehinggakan mereka gagal untuk melihat gambaran yang lebih besar. Apabila anda memakai penutup mata anda hanya melihat sesuatu dalam bentuk satu dimensi. Muhyiddin perlu menanggalkan penutup mata untuk mendapatkan pandangan yang lebih luas tentang sesuatu perkara.

Muhyiddin mengatakan bahawa Barisan Nasional tidak lagi mempunyai majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri Johor. Bolehkah Muhyiddin memberitahu kita sama ada parti beliau mempunyai majoriti satu pertiga dalam Dewan Undangan Negeri Johor? Satu kerusi daripada 56 kerusi bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan. Itu hanya meletakkan PPBM setanding dengan PKR, yang juga mempunyai satu kerusi. Malah PAS adalah lebih baik dengan empat kerusi. Dan satu kerusi PPBM bukanlah dimenangi tetapi 'dicuri'. Jadi mengapa berbangga dengan satu kerusi yang dicuri?

Adakah Muhyiddin fikir bahawa politik dan pilihan raya adalah permainan aritmetik semata-mata? Bagaimana pula dengan kredibiliti beliau dan kredibiliti partinya? Adakah ini tidak diambil kira dalam politik dan pilihan raya? Orang baru pun tahu bahawa politik kadang-kadang adalah lebih kepada persepsi berbanding realiti. Dan realitinya adalah persepsi orang ramai mengenai Muhyiddin adalah buruk.

Muhyiddin telah diburukkan dengan teruk akibat skandal seksnya baru-baru ini. Nika Gee akhirnya bercerai dengan suaminya dan khabar angin tersebar bahawa Muhyiddin telah mengahwininya secara rahsia. Muhyiddin perlu secara terbuka menafikan khabar angin ini jika ianya adalah tidak benar. Jika tidak, orang akan percaya bahawa Muhyiddin telah berkahwin secara rahsia dengan perempuan simpanannya yang baru-baru ini telah bercerai.

Kemudian terdapat masalah Shafie Apdal berhubung dua pemegang amanah, proksi, calon-calon dan kroni beliau di Sabah yang ditahan kerana rasuah, kes terbesar setakat ini dalam sejarah Malaysia. Shafie secara peribadi telah memberitahu rakan-rakannya bahawa beliau tidak mengenali kedua-dua orang itu. Bolehkah Shafie mengumumkan secara terbuka bahawa beliau tidak mengenali kedua-dua orang itu dan bahawa mereka bukanlah pemegang amanah, proksi, calon-calon dan kroni beliau?

Nampaknya Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, dan Shafie bukanlah rakan karib. Jadi Musa tidak campur tangan dalam projek air bernilai berbilion-bilion ringgit itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada Shafie untuk menguruskannya untuk mengelakkan konflik. Terdapat juga ura-ura bahawa Shafie bukan sahaja secara peribadi mengendalikan perkara itu tetapi beliau juga memberi arahan bahawa bayaran perlu dibuat dalam tempoh dua minggu dari tarikh tuntutan dikemukakan.

Shafie mungkin mempunyai banyak perkara untuk dijawab dan beliau tidak lama lagi mungkin akan jatuh tersungkur kerana telah ‘kantoi’. Dan ini adalah lelaki yang, bersama-sama dengan Muhyiddin, mendakwa bahawa mereka mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak digulingkan bukan supaya Mukhriz boleh menjadi Perdana Menteri tetapi, kononnya, untuk menyelamatkan Malaysia.

Apa yang lebih menarik adalah tindakan berdiam diri Tun Dr Mahathir Mohamad. Mahathir masih tidak memberi komen mengenai skandal seks Muhyiddin atau berhubung skandal rasuah Sabah. Mengapa Mahathir tidak mengatakan apa-apa? Mengapa berdiam diri? Adakah Mahathir hanya menyerang orang-orang yang tidak akan menyokong Mukhriz untuk Perdana Menteri tetapi sebaliknya menutup matanya, telinganya dan mulutnya mengenai kesalahan mereka yang menyokong Mukhriz untuk Perdana Menteri?

Muhyiddin dan Shafie kedua-duanya sudah tidak berguna lagi. Kedua-dua pemain utama Mahathir tidak boleh diharapkan lagi dan hanya tinggal Mukhriz sebagai kuda beliau. Dan Mukhriz telah membuktikan kekurangan kepintaran politiknya dan juga kekurangan kecerdasannya. Mukhriz begitu tidak boleh dipercayai dan diharapkan sehinggakan Mahathir terpaksa menyembunyikan beberapa fakta-fakta tertentu daripadanya dan berurusan dengannya atas dasar perlu-tahu.

Mahathir sedang mempertimbangkan untuk menggantikan Mukhriz dengan Mokhzani tetapi Mokhzani juga mempunyai masalahnya sendiri untuk diselesaikan mengenai jenayah perdagangan dalaman. Dan untuk menambah kepada semua masalah-masalah ini adalah masalah pemegang amanah, proksi, calon-calon dan kroni Mahathir yang cuba untuk melarikan diri kerana bimbang dengan rancangan Mahathir yang bakal gagal.


Link asal artikel:
http://www.malaysia-today.net/muhyiddin-is-living-in-lalaland/

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA