MoU Pastikan Tiada Gangguan Bekalan Bitumen Bagi Projek Jalan Raya Di Sarawak


Kuching : Pembangunan projek Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 1,000 kilometer yang sedang diusahakan sekarang dan beberapa projek jalan luar bandar sejauh 1,500 kilometer di negeri ini dijangka tidak akan berdepan masalah gangguan bekalan bitumen berkualiti tinggi.

Ini susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Senari Synergy Sdn Bhd yang berpangkalan di Kuching dan Kemaman Bitumen Co Sdn Bhd yang berpangkalan di Selangor, di sini, hari ini.

Senari Synergy ialah perbadanan utama negeri dalam pembangunan dan pengurusan kemudahan penyimpanan dan pengedaran berpusat bagi minyak dan gas serta industri petrokimia, manakala Kemaman Bitumen adalah anak syarikat Tipco Asphalt Co Ltd dari Thailand, pengeluar bitumen terbesar di Asia Tenggara.

Di bawah MoU itu, Senari Synergy akan membuat pelaburan awal sebanyak RM30 juta untuk membangunkan kemudahan simpanan bitumen serta prasarana dan kemudahan berkaitan.

Dalam ucapannya selepas menyaksikan permeteraian itu, Menteri Perusahaan dan Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Pelaburan negeri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata MoU itu tepat pada masa ketika kerajaan negeri sedang membangunkan lebuh raya tersebut yang bernilai RM16 bilion dan dijangka siap pada 2021.

"Sukacita ingin saya maklumkan bahawa walaupun dalam persekitaran ekonomi sangat mencabar, Sarawak masih menerima jumlah pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung domestik yang besar pada 2014 dan 2015 masing-masing sebanyak RM9.6 bilion dan RM11.8 bilion," kata Awang Tengah.

Setakat ini, katanya, Sarawak memeterai MoU antara lainnya dengan Hebei Xinwang Steel dari China untuk membangunkan kilang keluli US$3 bilion di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu.

"Kami juga menyaksikan permeteraian memorandum persefahaman untuk membangunkan projek biojisim bernilai US$100 bilion di negeri ini melibatkan syarikat tempatan dan China," katanya. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA