MITI Berusaha Jadikan PKS Agenda Utama Pembangunan Negara


KUCHING : Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus berusaha merapatkan jurang antara Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seluruh Malaysia untuk membangunkan PKS sebagai salah satu agenda utama dalam proses pembangunan negara.

Menterinya, Dato’ Sri Mustapa berkata, jurang antara usahawan PKS di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak harus dirapatkan melalui pendekatan proaktif bagi memastikan tiada sebarang isu dan pendapat yang mengatakan Program Pembangunan PKS dan Rang Undang-Undang PKS hanyalah retorik kerajaan.

"Kerajaan amat memandang serius segala isu, masalah dan pendapat yang mengatakan Program Pembangunan PKS dan Rang Undang-Undang PKS hanyalah retorik kerajaan,"

“Hubungan antara kerajaan negeri, kerajaan pusat dan pengusaha-pengusaha khususnya PKS akan terus dirapatkan bagi merealisasikan usaha membangunkan PKS dijadikan salah satu agenda utama kerajaan," katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai sesi Townhall berkaitan Program Pembangunan PKS dan Rang Undang-Undang PKS Kebangsaan di Hotel Imperial, di sini, hari ini.

Sementara itu katanya, kerajaan akan turut berusaha memastikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sarawak akan terus berkembang dalam mengeksport produk dan perkhidmatan mereka ke luar negara.

"Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan membantu mengenalpasti usahawan yang berpotensi mengeksport produk mereka ke luar negara malah akan menyertai program promosi besar-besaran di Shanghai pada awal November 2016,"

Jelasnya, kerjasama rapat pelbagai agensi kerajaan amat diperlukan untuk mengantarabangsakan industri PKS dalam memastikan kelangsungan pertumbuhan PKS terus berkembang.

“Pihak kerajaan juga mahukan syarikat-syarikat besar mempunyai agenda dan dasar bagi membantu pengusaha-pengusaha PKS di negara kita,” ujar beliau. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA