Minyak Masak 'Lesap' Dari Rak


GEORGE TOWN: Subsidi minyak masak belum lagi ditarik balik, tetapi beberapa kesan sudah dapat dilihat.

Dalam sekelip mata, botol dan paket minyak masak bersubsidi, sudah lenyap dari rak-rak di pasar raya di sini.

Orang ramai tidak mjelepaskan peluang untuk membelinya berikutan pengumuman bahawa harga minyak masak akan meningkat bulan depan ekoran penghapusan subsidi.

Pengurus Besar Sunshine Wholesale Mart, Yee Kam Ming berkata terdapat permintaan tinggi terutama bagi botol 5kg minyak masak di Sunshine Square, Bayan Baru, Khamis.

"Menjelang tengah hari, sebahagian besar daripadanya telah habis. Kami terus membuat pesanan daripada pembekal. Mudah-mudahan, kami mendapat stok minggu depan," katanya.

Semakan di sebuah lagi pasar raya juga menunjukkan rak minyak masak yang hampir kosong.

Penjual Char Kue Teow Yeoh Tin Pong, 63, bagaimanapun tidak merancang untuk menaikkan harga jualannya.
Tin Pong berkata beliau telah menjual setiap pinggan kue teow pada harga RM4.50 hingga RM5.50, cukup untuk menampung kenaikan harga minyak.

Pada Khamis, dilaporkan bahawa subsidi untuk semua kecuali dua saiz bungkusan minyak masak akan dimansuhkan pada pada 1 November.

Subsidi kedua-duanya akan kekal sehingga akhir tahun ini, membabitkan botol 5 kilogram (kg) dan pek plastik (polybag) 1kg.

Bermula tahun depan, hanya harga bagi bungkusan 1kg akan diberikan subsidi.

Kesemua saiz lain seperti botol 500 gram, 1kg, 2kg dan 3kg, tidak lagi disubsidikan oleh kerajaan.

"Semua harga runcit bagi minyak masak campuran dalam pelbagai jenis bungkusan juga tidak lagi diberikan subsidi," menurut Persatuan Pengeluar Minyak Makan Malaya (Meoma) dalam satu kenyataan, Rabu.

Harga siling runcit untuk polibeg 1kg dan botol 5kg akan naik - dari RM2.50 kepada RM2.90 untuk polibeg dan dari RM13.35 ke RM15.25 untuk botol.

Di Johor Baru, tinjauan The Star menunjukkan bahawa walaupun terdapat beberapa pengguna membeli dua hingga tiga botol minyak masak sekali gus, masih terdapat bekalan yang mencukupi di pasar raya besar dan pasar raya.

Pengusaha kantin sekolah B. Rosandra, 23, berkata beliau terpaksa pergi ke beberapa kedai kerana terdapat kedai yang mengehadkan jualan kepada dua botol untuk setiap pelanggan.

"Saya memerlukan kira-kira lima kilogram minyak untuk menyediakan makanan kepada murid-murid di sebuah sekolah Tamil. Memansuhkan subsidi pasti akan memberi kesan kepada kanak-kanak yang membeli makanan di kantin," katanya.

Beliau juga menjangkakan makanan yang dimasak menjadi lebih mahal tahun depan.

Pegawai perkhidmatan pelanggan C. Kanaraj, 35, bimbang pengumuman secara tiba-tiba akan menjejaskan bekalan minyak masak, terutamanya semasa musim Deepavali.

"Perayaan ini jatuh pada minggu depan dan apabila berita ini keluar, bayangkan bagaimana semua orang akan berebut untuk membeli minyak masak," katanya.

Pengerusi Persatuan Gerakan Pengguna Johor Abdul Majid Kayat menggesa orang ramai mengambil isu ini secara positif dengan mengurangkan penggunaan minyak dalam masakan harian.

Di Ipoh, pengguna lebih prihatin dengan kenaikan harga makanan apabila mereka makan di luar.

Pesara Ng Ming Hong, 60, yang biasanya membeli botol minyak 5kg bagi kegunaan rumah untuk beberapa bulan berkata peningkatan sebanyak RM1.90 harga siling untuk botol itu masih boleh diterimanya.

Tetapi Ng berkata beliau bimbang harga makanan akan menjadi lebih mahal jika beliau membeli makanan di luar.

"Peniaga pasti akan merasai kesannya dan mereka akan melepaskan tanggungjawab ini kepada pelanggan," katanya. - mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA