MIC gesa Ahli Parlimen BN patuhi ketetapan RUU Akta 355


KUALA LUMPUR: Presiden MIC berharap Ahli Parlimen BN akan mematuhi keputusan yang sudah dipersetujui BN berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU Akta 355).

Katanya BN sudah mencapai suatu bentuk persetujuan untuk menangani usul kontroversi itu.

“Di peringkat BN, kita sudah ada persetujuan tentang bagaimana untuk menangani isu itu, dan saya berharap apa yang dipersetujui akan diikut,” kata Datuk Seri S Subramaniam.

Beliau berkata demikian seusai majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC ke-70 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Subramaniam, yang juga Ahli Parlimen Segamat, ditanya pemberita berhubung tindakan yang akan diambil MIC apabila pindaan yang diusulkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan.

Usul itu mengundang kontroversi kerana ia dilihat sebagai permulaan matlamat PAS memperkenalkan hudud.

Menteri Kesihatan itu juga ditanya sama ada MIC dan parti komponen BN lain akan minta usul Hadi itu ditangguhkan.

Subramaniam bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai “persetujuan” itu, atas dasar ia adalah “proses Parlimen”.

Hadi, selaku Ahli Parlimen Marang dijangka membentangkan pindaan kontroversi itu pada sidang kali ini, selepas meminta ia ditangguhkan pada sidang Mei lalu.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan menjelaskan tujuan usul Hadi bukan untuk meminda Akta 355, sebaliknya mencadangkan agar pindaan dibuat terhadap akta itu.

Sekiranya usul diterima, langkah seterusnya menurut Nasrudin ialah perkara itu akan diserahkan kepada parti pemerintah supaya diangkat sebagai RUU daripada kerajaan untuk meminda Akta 355.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata kesan pindaan itu adalah tidak ada lagi sekatan mengenai jenis dan had hukuman yang Dewan Undangan Negeri boleh peruntukkan kepada Mahkamah Syariah, kecuali hukuman mati. - FMT

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA