Mengaku Bersalah Cederakan Ibu Di Taman Desa Ilmu


KOTA SAMARAHAN: Dua remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas seorang wanita di Taman Desa Ilmu, Rabu lalu.

Kedua-dua tertuduh berusia 15 tahun itu didakwa atas tuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang suri rumah berusia 43 tahun dengan menggunakan peralatan sebagai senjata pada pukul 9 malam, 28 September lalu.

Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Majistret Marutin Pagan menetapkan 11 November depan untuk meneliti laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum menjatuhkan hukuman.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan seorang remaja lelaki dan rakannya ditahan polis kerana menjerut leher dan menikam wanita terbabit selepas menjemput kedua-dua tertuduh dan anak perempuannya berusia sembilan tahun dari sebuah pusat tuisyen di situ.

Kedua-dua remaja itu ditahan polis kira-kira 12.15 tengah malam selepas datang ke Balai Polis Kota Samarahan untuk menyerah diri. - K! ONLINE



No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA