Mendiang Henry Chin Selamat Disemadikan



KOTA KINABALU: Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, mendiang Tan Sri Henry Chin selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Cina di Batu 5, Jalan Tuaran di sini pada kira-kira jam 11.30 pagi, selepas diberi penghormatan terakhir.

Mendiang diarak dari Wisma Fook Lu Siew pada 10.40 pagi, dengan diiringi anggota polis menuju ke tanah perkuburan itu yang terletak kira-kira 2km dari wisma berkenaan.

Sebelum itu, orang ramai termasuk Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari EM Nadzeer hadir pada upacara penghormatan di Wisma Fook Lu Siew.

Mendiang adalah bekas Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan naib pengerusi Yayasan Pemcegahan Jenayah Malaysia (MCPF) serta anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah.

Mendiang berkhidmat dengan PDRM lebih 38 tahun sebelum bersara pada 1993.
Chin, 79, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur, Ahad lepas.

Mendiang meninggalkan isteri, Puan Sri Shirley Cheng Hua Chien, 72, serta dua anak.
-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA