MDS Mohon Sebuah Lagi Jejantas Dibina Di Pintu Masuk UNIMAS


KUCHING:
Majlis Daerah Samarahan (MDS) memohon agar sebuah lagi jejantas dibina di pintu masuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di mana pelajar perlu melintas Samarahan Expressway.
Menurut Pengerusinya Datuk Peter Minos, walaupun ada lampu isyarat di persimpangan pintu masuk itu, risiko kemalangan masih wujud terutama pada waktu malam kerana mungkin terdapat pemandu yang cuai dan mabuk di laluan itu.
“Keselamatan pelajar amat penting. MDS mengambil berat akan keselamatan pelajar ini.
“Kami juga bimbang terhadap mereka yang tinggal di luar kampus dan MDS sedang bekerjasama dengan kumpulan sektor swasta untuk menyediakan makanan dan penginapan berpatutan kepada pelajar.
“Medan selera terbaik dan terbesar akan disediakan di Dataran Aiman dengan mengambil kira pelajar luar kampus UNIMAS dan UiTM.
“Terdapat kira-kira 10,000 pelajar luar kampus di Kota Samarahan,” katanya menerusi kenyataan akhbar semalam.
Peter berkata, jejantas yang sudah siap dibina di pintu masuk lama UNIMAS amat dihargai.
“Kerajaan harus dipuji kerana membina dan menyiapkan jejantas di pintu masuk lama UNIMAS kerana ia akan mencegah kemalangan ke atas pelajar UNIMAS yang menyeberangi lebuh raya itu (Samarahan Expressway),” katanya.
Mengenai masalah kesesakan lalu lintas yang semakin serius terutama pada waktu kemuncak hari bekerja di Kota Samarahan, Peter berkata, masalah itu akan dibincangkan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“MDS akan bertemu dengan Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Fadillah Yusof) untuk melihat bagaimana kesesakan di lebuh raya itu dapat diselesaikan atau sekurang-kurangnya dikurangkan.
“Jalan lencongan dan lampu isyarat di bulatan akan dicadangkan kepada JKR Pusat.
“Dan kai juga mengambil kira keresahan orang ramai yang menghadapi kesesakan di Kota Samarahan dan kami akan melakukan segalanya yang termampu untuk mengurangkan masalah itu, memandangkan itu adalah tanggungjawab MDS,” jelasnya. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA