MCA Cadang Gubal Perlembagaan, Buka Keahlian Kepada Semua Kaum



KUALA LUMPUR: Sebagai salah satu langkah untuk menjadi lebih terbuka, MCA bakal meminda perlembagaan parti dan membenarkan wakil cawangan untuk memilih pimpinan peringkat nasional.

Presiden Parti, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pindaan perlembagaan itu akan dibuat pada perhimpunan agung parti itu tidak lama lagi.

Liow yang ditemui selepas merasmikan mesyuarat Pemuda MCA Selangor memberitahu MCA mahu menjadi parti yang lebih progresif berbanding dahulu.

Katanya, pimpinan nasional MCA bersetuju dengan cadangan Ketua Pemuda MCA, Datuk Wong Sin Woo untuk membuka keahlian gabungan MCA kepada masyarakat bukan Cina.

"Kita setuju bahawa pemuda MCA teruskan dengan agenda mereka untuk menarik pemuda-pemudi berbilang kaum untuk menyertai MCA melalui penubuhan Kelab MCA yang selaras dengan usaha parti untuk menjadi lebih kehadapan dalam setiap aktiviti.

"Sebagai sebuah parti kita harus berinteraksi dengan semua masyarakat berbilang kaum. Walaupun MCA bermula sebagai parti 'communal', kami mempunyai pendekatan berbilang kaum dan menyokong agenda nasional yang mementingkan kepelbagaian.

Selain itu, Liow memaklumkan MCA menyambut baik agenda Transformasi Nasional 50 (TN50) yang diperkenalkan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu ucapan belanjawannya pada Jumaat.
Jelasnya, MCA mencadangkan supaya kerajaan mengadakan sesi dialog peringkat nasional bersama golongan belia termasuk wakil daripada Pemuda MCA.- Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA