Mawan Semakin Dekat Sertai SPDP


KUCHING: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mengesahkan bekas presiden parti tersebut Tan Sri William Mawan Ikom sudah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin parti yang diterajui Datuk Seri Tiong King Sing berkaitan penyertaan semula.

Setiausaha Agung SPDP Anthony Nogeh yang mengesahkan perkara tersebut berkata, Mawan bertemu dengan beliau dan Tiong.

“Saya adalah Setiausaha Agung SPDP. Saya boleh mengesahkan bahawa kami sudah berjumpa dengan Tan Sri Mawan mengenai perkara itu dan pendirian kami ialah kami tiada bantahan untuk beliau menyertai semula SPDP.

“Mungkin pada masa lalu, kami ada perbezaan pendapat tetapi demi solidariti, kami sudah bersetuju bahawa beliau boleh menyertai semula SPDP,” katanya.

Memetik laporan Utusan Borneo Nogeh yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menjelaskan, malahan bagi ahli TERAS dan ahli SPDP yang pernah menyertai mereka sebelum ini boleh menyertai semula parti.

Beliau berkata, mereka boleh kembali kepada SPDP tanpa syarat dan hanya perlu mengemukakan borang keahlian atau memohon semula untuk menyertai parti seperti orang lain.

“Saya hanya mahu menyatakan kami tiada bantahan untuk mereka menyertai kami semula.

“Setakat ini belum ada sesiapa yang sudah mengemukakan permohonan semula tetapi Tan Sri sudah berjumpa dengan kami (saya dan presiden) beberapa hari lalu semasa Persidangan Parlimen.

“Kami menjangkakan untuk menerima permohonan mereka,” katanya.

Menurut Nogeh, mereka perlu kemukakan (permohonan) dahulu dan parti akan bincang mengenai perkara lain seperti jawatan kemudian.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak akan mengulas mengenai jawatan atau kedudukan Mawan dalam parti terbabit.

Mawan antara pemimpin TERAS yang sebelum ini meletak jawatan daripada parti itu bagi membolehkan mereka bertanding atas tiket calon langsung BN pada Pilihan Raya Negeri lepas.

Namun selepas kemenangan pada pilihan raya, dua bekas pemimpin TERAS yang bertanding sebagai calon langsung BN, iaitu Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) telah menyertai PBB sementara Mawan masih belum menyertai mana-mana parti komponen BN lain.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA