Maut Ditikam Bakal Adik Ipar


KUALA TERENGGANU: Lelaki mati dibunuh dengan enam kesan tikaman di kawasan letak kenteraan di Kompleks Seri Iman, di sini, 11.30 pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Mohamad Shukri Husin, 34, dari Kelantan diserang suspek berusia 29 tahun yang juga bakal adik iparnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama suspek dan beberapa ahli keluarga yang lain datang ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu untuk mengesahkan status perkahwinan suspek yang mendakwa sudah bercerai.

"Pemeriksaan mendapati dia masih mempunya isteri dan ketika kedua-dua keluarga sedang berurusan, mangsa dan suspek keluar ke kawasan letak kenderaan.

"Ketika mereka berada di situ, suspek menyerang mangsa dipercayai menggunakan pisau sebelum melarikan diri menaiki Honda Civic berwarna merah dipandu seorang lelaki.

"Pemeriksaan mendapati terdapat enam kesan kecederaan termasuk di leher dan dada sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat," katanya.

Wan Abd Aziz berkata, identiti suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - HMetro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA