Maut Dihempap Treler


NILAI: Pemandu treler maut selepas kenderaan dipandu terjunam dalam gaung di Kilometer 46.2 Leburaya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah utara selepas susur Nilai di sini, hari ini.

Mangsa, Zakaria Teoh Abdullah, 57, maut di tempat kejadian akibat dihempap treler berkenaan ketika cuba keluar.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, treler membawa muatan minyak sawit dalam perjalanan dari Pasir Gudang menghala ke Jenjarom, Selangor sebelum dipercayai terbabas merempuh penghadang jalan dan terjunam ke dalam gaung.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Baharin Ayob Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.31 pagi sebelum jentera dan Unit Penyelamat dan Paramedik (EMRS) dengan kekuatan lapan anggota ke lokasi.

"Sebaik tiba, anggota menuruni gaung untuk mengesan mangsa. Namun, mangsa tidak kelihatan menyebabkan bomba terpaksa mendapatkan perkhidmatan kren untuk menarik treler berkenaan.

"Mangsa ditemui dihempap kepala treler dalam keadaan tersepit pada pintu bahagian pemandu dan disahkan meninggal dunia. Mangsa kemungkinan cuba keluar tetapi gagal," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA