Maut Dalam Kemalangan Kendiri Di Serian


KUCHING: Seorang penunggang motosikal terbunuh selepas dipercayai terlibat kemalangan kendiri di Batu 22, Jalan Kuching-Serian dekat sini, awal pagi semalam.

Mangsa dikenal pasti sebagai Rammy Buking, 32, dikatakan maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala yang dialaminya.

Menurut sumber, kejadian itu berlaku sekitar jam 2 pagi ketika mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Kampung Mapu Tragu di Tebakang.

“Mangsa dipercayai hilang kawalan ke atas motosikal lalu bergesel dengan besi penghadang dan tercampak ke tengah jalan,” kata sumber.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan turut hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Dalam kes berasingan, dua sekawan bernasib baik apabila hanya mengalami kecederaan ringan apabila dilanggar sebuah kereta ketika sedang menunggu rakan di sebuah perhentian bas di Pusat Komersil Matang Jaya, di sini.

Insiden itu dikatakan berlaku sekitar jam 12 tengah malam apabila sebuah kereta jenis Proton Saga tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar kedua-dua mangsa sebelum beredar dari lokasi kejadian.

Kedua-dua mangsa yang masing-masing berumur 18 dan 27 tahun kemudian dikejarkan ke HUS untuk menjalani rawatan.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA