Mastura, Budiman Angkat Sumpah Ahli Dewan Rakyat

Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Hari pertama sesi Dewan Rakyat di Parlimen hari ini menyaksikan Datin Mastura Mohd Yazid dan Budiman Mohd Zohdi mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Ahli Parlimen Sungai Besar.

Kedua-duanya mengangkat sumpah di depan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebaik sahaja Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-13 bermula tepat pada pukul 10 pagi.

Selepas majlis tersebut, Pandikar Amin kemudiannya mengumumkan pelantikan keduanya sebagai ahli Dewan Rakyat baharu setelah mendapat persetujuan daripada semua wakil rakyat.

Mastura dan Budiman masing-masing diumumkan menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada Jun lalu.

Kedua-dua kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, pada 5 Mei lalu.

Mastura berjaya mempertahankan kerusi setelah menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 6,969 undi.

Budiman yang merupakan juga Adun Sungai Panjang, telah menewaskan dua calon lain dengan majoriti 9,191 meraih jumlah undi sebanyak 16,800 undi.- SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA