MAS Jalin Kerjasama Dengan Liverpool FC


KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines (MAS) kini secara rasmi adalah rakan penerbangan global bagi Kelab Bola Sepak Liverpool (LFC), menurut CEO MAS Peter Bellew dan Ketua Pegawai Komersil LFC Billy Hogan pada Selasa (11 Oktober).

Perjanjian itu merangkumi kerjasama selama tiga tahun dan MAS berharap ia akan mencergaskan lagi perniagaannya, khususnya di China.

“Selain itu, kerjasama itu akan meningkatkan kesedaran tentang Malaysia sebagai satu destinasi pelancongan kepada para penonton global,” kata Encik Bellew.

Apabila ditanya sama ada beliau prihatin tentang kerjasama dengan syarikat penerbangan itu, Encik Hogan berkata tiada “keprihatinan sama sekali” dan kelab bola sepak England itu “amat berbesar hati”.

“Liverpool dan Malaysia saling mengongsi minat yang mendalam terhadap bola sepak. Sambutannya cukup luar biasa semasa kami mengunjungi Malaysia bagi perlawanan pra-musim pada 2011 dan 2015.”

“Malaysia Airlines, selamat datang. You’ll never walk alone,” kata CCO Liverpool itu.

Menurut Encik Bellew, nilai sebenar perjanjian itu dirahsiakan, tetapi ia dianggarkan “kurang 10 peratus daripada bajet pengiklanan bagi tahun ini”. – MEDIACORP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA