Mangsa kebakaran HSA selamat dikebumikan

Batu Pahat: Jenazah Yusof Hassan, 53, seorang daripada enam mangsa kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Separap di sini, hari ini.

Jenazah tiba di Masjid Ungku Ahmad, Kampung Separap, pada 9.30 malam dari HSA,disembahyangkan ratusan penduduk kampung sebelum dikebumikan hampir sejam kemudian.

Anak saudaranya, Jamaliah Abdul Hamid, 58, berkata, Allahyarham yang tidak pernah berumahtangga tinggal berseorangan di Kampung Parit Lapis, Separap.

"Allahyarham adalah anak bongsu daripada tujuh beradik dan menerima rawatan di hospital berkenaan sejak Jumaat lalu.

"Sebelum itu, Allahyarham terjatuh di rumahnya hingga tidak sedarkan diri dan disyaki menghidap ketumbuhan di kepala.

"Kali terakhir bertemunya Ahad lalu, ketika melawat Allahyarham di wad berkenaan," katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham, hari ini.

Menurutnya, bapa saudaranya itu dikenali orang ramai kerana melakukan kerja kampung.

Katanya, keluarganya menerima berita itu apabila dihubungi sepupu yang menjaga arwah di HSA.

Walaupun terkejut dengan berita itu, katanya, mereka reda dan berharap kejadian sama tidak berulang.

Hadir sama, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Mohd Ismail Roslan. - HMetro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA