Malaysia Terpilih Bagi Penggal Keempat


KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi dilantik sebagai ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk pengga 2016 hingga 2019.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata ia adalah pelantikan untuk penggal keempat selepas kali pertama pada 2007.

“Malaysia diberi penghormatan untuk menerima 129 daripada 172 undi oleh negara anggota yang layak. Kami amat terharu dengan pengiktirafan ICAO atas sumbangan kepada badan global itu.

“Pemilihan ini menunjukkan pengiktirafan dan kepercayaan badan antarabangsa kepada Malaysia. Sebagai hab industri penerbangan awam di rantau ini, Malaysia komited memacu matlamat ICAO menerusi inisiatif ‘Tiada Negara Terpinggir’ dan ‘Generasi Penjawat Penerbangan Seterusnya,” katanya.

Beliau yang menghadiri Perhimpunan Agung ICAO ke-39 di Montreal, Kanada sehingga 7 Oktober ini, berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, di sini, semalam.

Tiong Lai berkata, Malaysia juga akan terus memenuhi keperluan latihan komuniti penerbangan global menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia.

Malaysia juga, katanya, tidak pernah berkompromi dalam usaha memastikan tahap keselamatan penerbangan awam global menepati piawaian.

Sehubungan itu, katanya, kerjasama dengan negara anggota ICAO menerusi pelbagai inisiatif yang dirangka akan diteruskan.

“Kami percaya usaha untuk menjamin keselamatan penumpang ketika penerbangan adalah keutamaan yang tidak boleh dipandang mudah. Ia boleh dicapai melalui kerjasama setiap negara anggota ICAO,” katanya. BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA