Malaysia Sama Kuat Dengan Afghanistan

Foto Berita Harian
SHAH ALAM: Malaysia bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mengikat Afghanistan 1-1 pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Meskipun sekadar seri bertemu lawan yang menduduki ranking ke-149 dunia itu, namun satu jaringan yang berjaya disumbat memberi sedikit petanda positif kepada skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu terutamanya selepas mereka gagal meledak sebarang gol dalam dua aksi persahabatan sebelum ini.

Bagaimanapun, keserasian antara pemain dan jentera serangan yang kurang menyengat dilihat menjadi faktor utama skuad Harimau Malaysia gagal merakam keputusan lebih baik pada aksi itu.

Afghanistan yang lebih banyak mengasak di awal permainan akhirnya beroleh gol menerusi jaringan Noarollah Amiri yang melencongkan bola ke penjuru kiri gol bagi gol pendahuluan pelawat pada minit ke-21.

Begitupun, Malaysia yang tampak bangkit pada hujung babak pertama akhirnya berjaya mengikat kedudukan selepas pemain sayap gantian, Mohd Hadin Azman menyudahkan hantaran lintang Matthew Davies untuk kedudukan 1-1 selepas 45 minit perlawanan berlangsung.

Babak kedua menyaksikan Afghanistan kembali menguasai permainan dan berterusan memburu gol kedua, namun pertahanan Malaysia cekap menutup ruang menafikan setiap percubaan pelawat membolehkan kedudukan kekal terikat 1-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA