Malaysia Kaji Kesesuaian Pisah Internet Daripada Komputer Kerja Sektor Awam

SINGAPURA, 18 Okt (Bernama) -- Malaysia akan mengkaji kesesuaian untuk memisahkan internet daripada komputer kerja dalam sektor perkhidmatan awamnya, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata buat masa ini tiada apa-apa dasar akan diambil berkaitan pemisahan internet itu.

"Jika ia berkaitan keselamatan, ancaman bukan sahaja perlu dilihat dari sudut internet tetapi media sosial juga," katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau diminta mengulas perkembangan di Singapura yang mula memisahkan internet daripada komputer kerja penjawat awamnya bagi tujuan keselamatan.

"Kita akan lihat modus operandi Singapura terlebih dahulu," katanya.

Ali berkata jika sekalipun ia mahu dilaksanakan dalam sektor perkhidmatan awam di Malaysia, banyak aspek yang perlu dilihat terlebih dahulu.

"Keadaan tidaklah serius dari segi salah guna internet oleh penjawat awam di Malaysia," katanya ketika ditanya tentang penyalahgunaan internet oleh penjawat awam di Malaysia.

Pada 10 Okt, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dilaporkan berkata kalangan menteri, pegawai kanan sektor awam dan separuh daripada agensi awam telah memisahkan kemudahan melayari Internet daripada komputer kerja mereka bagi meningkatkan aspek keselamatan sistem-sistem kritikal kerajaan.

Lee berkata baki agensi kerajaan sedang dalam proses melaksanakan inisiatif itu sehingga pertengahan tahun depan.

Akhbar The Straits Times melaporkan penjawat awam Singapura masih boleh mengakses laman web menerusi komputer kerajaan berasingan yang dikhususkan untuk tujuan itu, atau menggunakan peranti mudah alih peribadi masing-masing. Bagi komputer kerja mereka, di mana mereka mengakses e-mel mereka, tidak dilengkapi kemudahan melayari Internet. -- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA