Malaysia Harap China Akan Tingkatkan Import Minyak Sawit


Beijing : Malaysia berharap China akan meningkatkan import minyak sawitnya dari Malaysia susulan pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya dari China, Li Keqiang, esok.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata Malaysia sebelum ini merupakan pengeksport minyak sawit utama ke China namun kini berada di belakang Indonesia dan Kesatuan Eropah.

Beliau berharap dengan hasil positif daripada kajian, termasuk penyelidikan yang dilakukan oleh China, yang menunjukkan minyak sawit adalah minyak makan berkhasiat, permintaan terhadap minyak sawit Malaysia akan meningkat.

"Keputusan Parlimen Perancis menolak usul menaikkan cukai import minyak sawit kepada EUR500 (EUR1 = RM4.59) setan metrik daripada EUR100 juga akan membantu merangsang permintaan terhadap produk tersebut," katanya kepada pemberita Malaysia di sini, Isnin.

Mah berkata Najib akan mengemukakan beberapa cadangan kepada Li untuk China meningkatkan import minyak sawit dan getah dalam perbincangan dua hala mereka.

Menurutnya, import minyak sawit Malaysia dari China merosot kira-kira 50 peratus pada Januari-Jun 2016 berbanding tempoh yang sama pada 2015 kemungkinan disebabkan oleh beberapa laporan negatif dan salah tanggapan tentang nilai pemakanan minyak sawit.

"Perbincangan kerajaan kepada kerajaan ini akan meyakinkan sektor swasta di China untuk membeli lebih banyak minyak sawit dan bukannya minyak kacang soya. Kami mengadakan rundingan dengan para pegawai China baru-baru ini dan saya berharap Li boleh mengumumkan sesuatu yang substantif," katanya.

Eksport minyak sawit akan menjadi satu daripada isu yang akan dibawakan Najib dalam pertemuannya dengan Li, katanya.

"Isu kedua adalah getah. Ia mempunyai potensi besar, seperti bagi landasan kereta api dan gelang getah," katanya.

Najib juga akan membincangkan tentang penyelidikan minyak sawit mengenai sama ada minyak itu baik bagi kesihatan pengguna.

"Kami telahpun menghantar memorandum persefahaman kepada Najib agar beliau boleh membincangkan dengan Li esok. Kami menjalankan penyelidikan terutamanya di wilayah Gansu. Kami bekerjasama dengan kerajaan wilayah Gansu menggunakan minyak sawit dalam pembuatan biskut.

"Ia bagi kanak-kanak di wilayah itu. Ia bagus untuk mata (Vitamin A). Kini terdapat seramai 2,000 kanak-kanak di bawah program ini dan kami perlu mengembangkannya ke wilayah lain," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA