Makanan Lambat, Pekerja Restoran Dibelasah


JOHOR BAHRU: Tidak berpuas hati kerana makanan dan minuman dipesan lambat tiba, dua lelaki bertindak luar batasan memukul dua pekerja restoran di sini, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, kejadian kira-kira 4.25 pagi itu disedari anggota polis yang membuat rondaan cegah jenayah di kawasan Taman Nusa Bestari dan berjaya meleraikannya.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Supt Noor Hashim Mohamad berkata, dua lelaki tempatan berusia 26 tahun ditahan kerana mengakibatkan dua pekerja restoran berkenaan, masing-masing warga Sri Lanka dan India berusia 28 dan 40 tahun, cedera di muka, dahi dan badan.

"Pemeriksaan pada suspek tidak menjumpai senjata berbahaya dan ujian air kencing mereka juga negatif.

"Namun, berdasarkan siasatan awal, punca pergaduhan disebabkan suspek tidak berpuas hati kerana minuman dan makanan yang dipesan lambat sampai," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA