Majoriti Ahli Gabungan FAM Mahu TMJ Jadi Presiden


KUALA LUMPUR: Bukan 12 tetapi 17 daripada 20 ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan sokongan terhadap Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menerajui badan induk itu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka, Datuk Wira Yusoff Mahadi mendedahkan, sepatutnya 17 ahli gabungan mengadakan pertemuan terutup dengan Tunku Ismail di Johor Bahru kelmarin.

Namun, lima daripadanya tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen yang perlu diselesaikan.

Yusoff yang merupakan individu bertanggung jawab mengumpul ahli gabungan FAM untuk bersemuka dengan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, pertemuan tersebut adalah kesinambungan daripada cadangan awal presidennya, Datuk Seri Idris Haron.

“Datuk Seri Idris adalah orang pertama yang menguar-uarkan agar TMJ dipilih sebagai Presiden FAM kerana beliau melihat Tunku Ismail sebagai calon paling sesuai untuk mengubah landskap bola sepak negara.

“Saya kemudian mengambil inisiatif merisik ahli gabungan lain dengan menghubungi mereka, nampaknya ia mendapat sambutan. Sebab kebanyakan mereka nak dengar daripada mulut TMJ sendiri.

“Sebenarnya bukan 12 ahli gabungan yang menyatakan minat, tetapi ada lima lagi turut sealiran. Cuma mereka tidak dapat hadir. Mungkin notis yang saya beri terlalu singkat,” katanya.

Selain Melaka, sebelas ahli gabungan lain yang bertemu TMJ adalah Persatuan Bola Sepak Selangor, Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Persatuan Bola Sepak Perak, Presatuan Bola Sepak Sabah, Persatuan Bola Sepak Sarawak, Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia, Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia, Persatuan Bola Sepak India Malaysia dan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia.

Ketika ditanya apakah yang meyakinkan mereka untuk memilih Tunku Ismail yang pernah tewas dalam perebutan jawatan Presiden FAM dua tahun lalu, Yusoff berkata, kekalahannya ketika itu mungkin disebabkan beliau dianggap orang baharu dalam bola sepak tanah air.

“Kemenangan Tengku Mahkota Pahang (TMP), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk jawatan Presiden dalam pemilihan tersebut disebabkan kedudukannya pada waktu itu di kerusi No. 2.

“Jadi kebanyakan ahli gabungan berpandangan biarlah Timbalan Presiden memimpin FAM bagi penggal seterusnya kerana beliau lebih memahami keadaan,” katanya.

Bagaimanapun jelasnya, situasi kali ini berbeza kerana TMP telah menyatakan hasrat untuk berundur.

“TMJ pula telah membuktikan keupayaan menerusi kejayaan JDT. Beliau juga pernah menunjukkan minat memimpin FAM sewaktu bertanding dalam Kongres FAM ke-50,” katanya lagi.

- Utusan Malaysia

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA