Madrasah Mak Nyah Pertama Dunia Ditutup


Sekolah agama untuk golongan transgender? Mungkin sesuatu yang baharu tetapi ia sudah lapan tahun ditubuhkan sejak 2008 di Jogjakarta, Indonesia.

Penubuhan sekolah berkenan dikatakan menjadi simbol agama Islam yang toleransi dan peramah di Indonesia.

Namun, sejak beberapa bulan lalu di tengah-tengah kecaman terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), operasi sekolah itu ditentang hebat oleh kumpulan jalur keras Front Jihad Islam (FJI) sehingga terpaksa ditutup.

Sekolah yang dikenali sebagai Al Fatah ini merupakan satu-satunya sekolah agama berasrama untuk golongan mak nyah pertama di dunia.

Dailymail melaporkan walaupun ditentang hebat, masih ada sebilangan kecil golongan itu yang berkumpul setiap minggu untuk solat dan mendalami Islam.

“Kami mahu buktikan Islam menerima golongan transgender, dan Islam merupakan rahmat untuk seluruh alam,” kata pengetua sekolah berkenaan, Shinta Ratri.

Sekolah tersebut terletak di antara lorong yang berselirat di tengah-tengah daerah bersejarah Kotagede di Jogjakarta yang dahulunya sebuah rumah kediaman dan telah diubah suai dengan sebuah bilik utama menjadi tempat bersolat dan membaca Al-Quran.

Sejak penutupan sekolah berkenaan sejak Febuari lalu, tiga pendakwah masih terus mengajar 12 daripada 42 bekas pelajar yang datang setiap minggu.

Salah seorang pendakwah, Arif Nuh Safri, 32, berkata, sukar untuk golongan transgender dan mak nyah untuk solat di masjid kerana pandangan serong masyarakat.

“Apabila saya datang ke sekolah ini perkara pertama yang saya beritahu mereka adalah mereka berhak untuk solat kerana mereka juga sebahagian daripada ciptaan Tuhan,” katanya.

Menurutnya, sebelum sekolah berkenaan ditutup, wujud tentangan dan cemuhan daripada masyarakat.

Namun pemimpin FJI, Abdurahman, langsung tidak memberi muka terhadap golongan terbabit.

“Kami tidak boleh bertolak ansur terhadap perkara yang tidak elok,” katanya yang mengatakan FJI sering bekerjasama dengan pihak berkuasa sebelum mengambil tindakan terhadap aktiviti yang dianggap tidak bermoral.

Jogjakarta dahulunya dilihat sebagai bandar yang menerima, namun kini menjadi simbol sikap konservatif yang semakin meresap dalam masyarakat Indonesia, sehingga menyasarkan golongan gay, mereka yang minum alkohol, dan juga pornografi.

Sementara itu, polis tempatan menegaskan Yogyakarta adalah bandar yang mengamalkan toleransi dan akan mengambil tindakan jika ada bantahan daripada penduduk setempat. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA