Liga Super: Penyokong Diseru Penuhi Stadium Aksi Terakhir Sarawak-PDRM


KUCHING: Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abdul Wahab Rahim menyeru penyokong Sarawak hadir memenuhi Stadium Negeri, Petra Jaya pada perlawanan terakhir Liga Super 2016 menentang PDRM, Sabtu ini (22 Oktober).

Menurut Wahab, sokongan padu para penyokong amat diperlukan bagi menyuntik semangat pemain untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Sarawak.

“Kemenangan pada perlawanan terakhir ini amat penting untuk Sarawak bagi memastikan kita kekal bersaing dalam saingan Liga Super untuk tahun depan.

“Perlawanan ini juga akan menjadi kayu pengukur kepada perancangan persatuan terhadap skuad bagi menghadapi kempen tahun depan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Wahab yang juga Timbalan Presiden FAS berkata, keputusan positif pada perlawanan tersebut akan diambil kira sebagai salah satu perancangan pembangunan bola sepak negeri.

Sarawak perlu menang pada perlawanan penutup liga untuk menjamin slot ke saingan Liga Super pada tahun depan.

Skuad itu sedang menduduki tangga kelapan dengan mengumpul 21 mata hasil dari lima kemenangan, enam seri dan 10 kekalahan.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA