Lelaki Maut Di Miri, Motosikal Bertembung Kereta


MIRI: Seorang lelaki maut setelah motosikal yang ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Jambatan Sungai Miri, Jalan Miri-Bypass di sini malam kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Albert Liik Tack Ming, 32, dan beralamat di Taman Da Sing di sini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Khoo Leng Huat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya dalam kejadian berlaku sekitar jam 9 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas datang dari arah Kuala Baram menuju ke pusat bandar.

“Setiba di tempat kejadian dan ketika menuruni Jambatan Sungai Miri, motosikal mangsa dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun,” katanya.

Akibat pertembungan itu, mangsa tercampak ke tepi jalan.

Beberapa pengguna jalan raya melihat kejadian itu, segera menghubungi pihak polis dan ambulans untuk mendapatkan bantuan.

“Mangsa cedera kemudian dikejarkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan segera namun kemudian disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan,” katanya.

Menurut Khoo, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA