Lelaki Hilang Di Sungai Ditemui Mati Dipercayai Dibaham Buaya



KOTA KINABALU: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di Sungai Kampung Langkon Baru, Kota Marudu dekat sini malam tadi ditemui pukul 9.15 pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata mayat Herry Long, 28, ditemukan penduduk kampung kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

"Bomba menerima laporan mengenai kejadian 12.57 tengah malam dan lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai Kota Marudu.

Tiada jalan raya untuk sampai ke lokasi kejadian dan pasukan penyelamat terpaksa berjalan sejauh dua kilometer untuk sampai ke lokasi kejadian.

Maklumat awal yang diterima daripada pihak polis mengatakan mangsa dikhuatiri dibaham buaya ketika sedang menangkap ikan di sungai berkenaan," kata kenyataan itu.

JBPM Sabah berkata operasi mencari dan menyelamat telah ditangguhkan pada 2.30 pagi ekoran keadaan cuaca yang kurang baik dan faktor keselamatan anggota yang terlibat dalam operasi itu.- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA