Lelaki Besarkan Payudara Kerana Mahu Dapat Pekerjaan


BOSAN kerana gagal dapat pekerjaan, seorang lelaki di China telah menggunakan cara kejam untuk meningkatkan peluang mendapat kerja iaitu dengan menjalani prosedur membesarkan buah dada.

Lelaki itu yang dikenali sebagai Ho dan berasal dari Zhuzhou berpendapat kaum wanita mempunyai prospek yang lebih luas dalam alam pekerjaan jadi dia membelanjakan £4,500 semata-mata untuk menjalani prosedur terbabit.

Dia yang berusia 30 tahun itu juga sanggup ke Changsha bagi tujuan tersebut. Namun selepas beberapa bulan, dia terpaksa membuang semula implan terbabit selepas mendapat tentangan daripada keluarganya.

Perbuatannya itu terbongkar selepas ibunya mendapat tahu dia berhutang sebanyak £4,558 untuk pembedahan terbabit.

“Saya berasa sangat takut. Bagaimana seorang lelaki boleh memiliki buah dada sebesar itu. Saya menangis dalam bilik berulang kali,’’ kata ibunya.

Wanita berkenaan juga memberitahu bahawa Ho mengalami masalah pendengaran sejak berusia tiga tahun dan berdepan masalah untuk berkomunikasi dengan orang lain.

Dia turut menyalahkan hospital kerana menjalankan prosedur tersebut tanpa memaklumkan kepada anggota keluarga yang lain.

Dalam pada itu, Ho berkata, memandangkan dia tidak mempunyai wang, maka dia telah berunding dengan pihak hospital.

“Mereka memberitahu saya bahawa saya boleh berhutang dulu. Mereka turut meminta saya menyerahkan telefon bimbit dan kad pengenalan,’’ kata Ho.

Selepas perkara berkenaan terbongkar, pihak hospital bersetuju untuk memansuhkan bayaran berkenaan sebagai pampasan kepada Ho. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA