Lee Chong Wei Naik Pangkat Komander Kehormat


KUALA LUMPUR – Pemenang pingat perak acara badminton Olimpik Rio 2016, Datuk Lee Chong Wei hari ini dinaikkan pangkat dalam Pasukan Simpanan Sukarelawan Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) daripada Leftenan Komander (Kehormat) kepada Komander Kehormat.

Penganugerahan yang berlangsung dalam satu majlis di KD Gombak di sini itu sebagai meng­hargai jasa pemain nombor satu dunia tersebut selepas beliau mengharumkan nama negara dalam temasya Olimpik Ogos lalu.

Selain Chong Wei, 40, individu lain termasuk anggota tentera pel­bagai pangkat turut menerima penganugerahan dan kenaikan pangkat yang telah disempurna­kan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Ka­marulzaman Ahmad Badaruddin.

Ahmad Kamarulzaman berkata, TLDM berbangga apabila atlet negara itu menyertai pasukan simpanan tersebut.

“Walaupun sibuk dengan sukan, Chong Wei tetap meluangkan masa menjalani latihan yang ditetapkan oleh TLDM seperti berlayar bersama TLDM yang me­rupakan salah satu latihan yang ditetapkan.

“Sebelum ini beliau telah di­anu­gerahkan pangkat Leftenan Komander (Kehormat) pada Mei 2012 dan penganugerahan tauliah baharu ini berkuatkuasa pada 29 Ogos lalu namun hanya pingat diberikan pada hari ini,” katanya dalam majlis kenaikan pangkat dan penganugerahan pangkat (ke­hormat) pasukan simpanan sukarelawan TLDM, di sini.

Jelasnya, kenaikan pangkat itu turut melibatkan dua pegawai TLDM, dua pegawai PSSTLDM serta 37 anggota lain-lain pangkat dan ia merupakan majlis kelapan dalam tahun ini.

“Mereka perlu bersedia untuk mengharungi cabaran dan memikul tanggungjawab yang lebih besar selepas ini. Kita mahu mereka menunjukkan kecemerlangan tek­nikal mengikut kepakaran ma­sing-masing dan kepimpinan yang baik serta profesionalisme yang tinggi.

“Adalah menjadi tanggungja­wab mereka untuk memastikan setiap keputusan yang diambil berdasarkan ciri-ciri dan nilai keberanian, inisiatif, bertanggungjawab serta berintegriti. Keempat nilai ini merupakan kunci kepada kepercayaan yang diperlukan oleh pihak pengurusan TLDM kepada anggota bawahan,” katanya.

Sementara itu, Chong Wei ber­kata, beliau berterima kasih atas penghargaan tersebut dan per­lu bekerja keras untuk negara ter­ma­suk mengharumkan nama negara dalam bidang sukan.

“Latihan dalam PSSTLDM yang diberikan mengajar saya untuk menjadi seorang yang lebih kuat dan tidak boleh berputus asa sekiranya berdepan dengan apa sahaja cabaran,” katanya. - Utusan Online

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA