Lebih Banyak Rumah Mampu Milik Perlu Dibina Di Sarawak


KUALA LUMPUR: Memandangan pemaju swasta kurang berminat membangunkan rumah mampu milik, dasar baru perumahan di Sarawak akan diperkenalkan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, pengenalan dasar baharu itu turut mengambil kira harga bahan, harga tanah dan permintaan pembeli.

Malah menurutnya, perkara tersebut turut dipersetujui Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bagi membolehkan lebih ramai rakyat Sarawak memiliki rumah sendiri.

"Lima tahun kebelakangan ini, pemaju swasta tidak berminat kerana harga siling ditetapkan untuk pembinaan setiap rumah mampu milik iaitu RM52,000 untuk rumah hujung dan RM50,000 (tengah).

"Keadaan ini menyebabkan mereka tidak minat bina rumah mampu milik kerana tiada untung dan susah untuk dibangunkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Bersama Menteri Sempena Lan Berambeh Anak Sarawak 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri akan sentiasa berusaha untuk mengurangkan harga rumah termasuk menurunkan premium tanah.

"Ini antara usaha kita untuk menarik minat pemaju swasta untuk membina rumah mampu milik," ujarnya.

Berdasarkan perbincangan dengan pemaju swasta sebelum ini jelasnya, setiap 10 ekar tanah dibangunkan dengan perumahan, 30 peratus mesti pembangunan rumah mampu milik.

"Pada masa sekarang kerajaan menetapkan setiap rumah mampu milik perlu mempunyai tiga bilik berbanding dua bilik sebelum ini," jelasnya.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA