Lebih 12,000 Warga Emas Dapat Lesen B2 Program SKSJ Di Sarawak


SRI AMAN, 1 Okt (Bernama) -- Seramai 12,421 warga emas di luar bandar Sarawak berjaya memperoleh lesen memandu motosikal kelas B2 melalui program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di negeri ini sejak 2009.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (Perancangan dan Operasi) Datuk Yusoff Ayob berkata sejak program itu diperkenalkan di Sarawak, sebanyak 27 siri SKSJ dilaksanakan di luar bandar negeri ini.

"Selain membantu mendapatkan lesen untuk penunggang motosikal di luar bandar dari kalangan warga emas, program SKSJ juga bertujuan menyemai kesedaran keselamatan semasa berada di jalan raya," katanya semasa menutup program SKSJ Lubok Antu di Kompleks Sukan Lubok Antu di sini, Sabtu.

Turut hadir Anggota Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Sarawak Datuk Ibrahim Othman.

Seramai 256 peserta yang menyertai program anjuran JPJ Cawangan Sri Aman itu berjaya memperoleh lesen memandu masing-masing selepas mengikuti latihan pemanduan dan lulus ujian dengan jayanya.

Yusoff berkata program SKSJ itu akan diteruskan lagi pada masa depan bagi membantu lebih ramai warga emas di luar bandar negeri ini memperoleh lesen memandu yang sah.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA